MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PERSEKOLAHAN 2018, PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG, KAWASAN BALIK PULAU

/ / Pendidikan

Pada 25 Disember 2017, Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Balik Pulau telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2018, peringkat Negeri Pulau Pinang, Kawasan Balik Pulau kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Majlis yang diadakan di SMK Seri Balik Pulau, Pulau Pinang ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Yahaya, Ahli Parlimen Balik Pulau yang berbesar hati untuk hadir serta merasmikan majlis tersebut. Turut hadir, Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Y.Bhg. Tuan Haji Zambri Bin Mohd Isa, Presiden GPMS Kebangsaan yang turut menyaksikan penyerahan sumbangan berupa set pakaian dan peralatan persekolahan kepada seramai 416 orang pelajar. Di dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Yahaya menekankan berkenaan tujuan utama program ini diadakan iaitu untuk memberi galakan dan dorongan kepada pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, bantuan ini juga dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baharu. Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah diatas kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut.