Seramai 317 orang pelajar sekolah rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang telah menerima bantuan persekolahan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2017, peringkat Negeri Pulau Pinang, kawasan Kepala Batas yang telah diadakan pada 21 Januari 2017 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, Kepala Batas. Program anjuran bersama Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara dan Pejabat Ahli Parlimen Kepala Batas ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Bin Naina Merican, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas. Turut hadir menyerikan majlis, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Y.Bhg. Tuan Haji Zambri Bin Isa, Presiden GPMS dan Y.Bhg. Encik Mohamad Muzaidee Bin Mohammed Ali, Pengerusi GPMS Pulau Pinang, Bagi Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada kali ini, Yayasan Taqwa (MAIWP) telah menyumbangkan sumbangan berbentuk set pakaian dan peralatan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang terpilih yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini diberikan bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut belajar dalam keadaan yang lebih selesa dengan pakaian baru. Selain itu juga, ia juga bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan berjaya di alam persekolahan dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan kelak bagi membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan.