MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PERSEKOLAHAN 2018, PERINGKAT NEGERI TERENGGANU , KAWASAN HULU TERENGGANU

/ / Pendidikan

Seramai 398 orang pelajar sekolah rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Hulu Terengganu, Terengganu telah menerima bantuan persekolahan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2018, peringkat Negeri Terengganu, kawasan Hulu Terengganu yang telah diadakan pada 06 Januari 2018 bertempat di Dewan Sivik Kuala Pueh, Mukim Jenagor, Hulu Terengganu, Terengganu. Program anjuran bersama Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Rozi Bin Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri Terengganu merangkap ADUN Telemong. Turut hadir menyerikan majlis, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan dan Y.M. Tengku Haphiz Bin Tengku Putera, Pengerusi GPMS Terengganu, Bagi Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan Peringkat Negeri Terengganu pada kali ini, Yayasan Taqwa (MAIWP) telah menyumbangkan sumbangan berbentuk set pakaian dan peralatan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang terpilih yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini diberikan bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut belajar dalam keadaan yang lebih selesa dengan pakaian baru. Selain itu juga, ia juga bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan berjaya di alam persekolahan dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan kelak bagi membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan.