PROGRAM SKUAD KECEMERLANGAN AKADEMIK (SCAD) 2018, PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

/ / Pendidikan

Pada 03 hingga 05 April 2018 yang lalu, Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menganjurkan Program Skuad Kecemerlangan Akademik (SCAD) 2018 bagi Peringkat Negeri Sembilan yang telah diadakan di Pusat Kokurikulum, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau. Program berkonsepkan “Smart Muslim Student’s Camp” yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini telah berjaya mengumpulkan seramai 101 pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar daerah Rembau yang bakal mengambil Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Program ini juga turut diselia oleh guru pengiring bersama-sama 6 orang barisan fasilitator daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara objektif utama diadakan program SCAD ini adalah untuk membentuk generasi pelajar yang bermotivasi dan komited dalam meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri, membina tahap keyakinan yang tinggi dan dapat membentuk semangat berpasukan yang mantap dan penyayang selain dapat mendedahkan kepada masyarakat berkenaan peranan yang dimainkan oleh institusi zakat seperti Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar Islam di seluruh negara. Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan turut menyampaikan slot motivasi kepada para peserta program pada hari terakhir program. Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Encik Mat Rodzi Bin Kadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Rembau. Turut bersama menyerikan majlis, Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), dan Y.Bhg. Encik Mohd Adib Anas Bin Md. Nor, Ketua Penerangan GPMS Peringkat Kebangsaan.