60 Tahun Darul Quran JAKIM

/ / Pendidikan
4 Julai 2026, Kuala Kubu Bharu – Enam dekad menabur bakti dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berbakti kepada agama, masyarakat serta negara diraikan penuh gilang-gemilang menerusi Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Ke-34 yang berlangsung bersempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Darul Quran di Dewan Muktamar Darul Quran JAKIM.
 
Istiadat bersejarah itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, sekali gus menjadi detik penuh bermakna buat para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang al-Quran dan pengajian Islam.
 
Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan para graduan, malah menjadi simbol kesinambungan peranan Darul Quran sebagai institusi yang konsisten melahirkan huffaz profesional, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ummah serta negara.
 
Sebagai tanda sokongan terhadap agenda pembangunan pendidikan Islam dan kecemerlangan institusi tahfiz negara, Yayasan Taqwa MAIWP turut bersama menjayakan kelancaran penganjuran istiadat berprestij ini, selaras dengan komitmennya dalam memperkasa pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.
 
Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, YBhg. Datuk Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Pengarah Darul Quran, Puan Mastuyah binti Sahari serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, YBrs. Dr. Faridh Hafez bin Mhd Omar.
 
Kemuncak istiadat menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah berprestij, antaranya Anugerah Perdana Menteri, Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Anugerah Pengerusi Lembaga Darul Quran, Anugerah Kecemerlangan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Akademik, Anugerah Emas Alumni, Anugerah Kecemerlangan Institusi (LTDQ) serta penghargaan kepada institusi yang berkolaborasi dengan Darul Quran.
 
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh graduan atas kejayaan menamatkan pengajian. Penghargaan turut dirakamkan kepada ibu bapa, para pensyarah, barisan kepimpinan serta seluruh warga Darul Quran JAKIM atas segala jasa, pengorbanan dan komitmen dalam membentuk generasi pewaris al-Quran yang akan terus menjadi obor menerangi agama, bangsa dan negara.