
25 Nov 2021, Dewan Sheikh Daud Al- Fathoni,Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa –MAIWP telah mengadakan Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli 2021. Majlis ini diadakan secara hybrid bersama para pendakwah dari perkampungan Orang Asli seluruh Negara dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary.
Dalam majlis tersebut, Surau Ar Raudhah, KOA Sg Dua Hulu, Bentong Pahang telah dianugerahkan di tempat pertama dalam kategori Anugerah Surau KOA Terbaik 2021, manakalah Surau An Nur, KOA Langkap Dangi Johol, N.Sembilan di tempat kedua, dan Surau Al Asyliyyah KOA Desa Temuan, Petaling, Selangor di tempat ke tiga. Selain itu, bagi kategori Masjid/Surau diri Jumaat KOA terbaik dianugerahkan kepada SDJ KG Leryar, Cameron Highlands, Pahang.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa- MAIWP, Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tuan Haji Nor Azamir bin Haji Alias.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada penerima anugerah, semoga penganugerahan ini dapat menyuntik semangat untuk terus mencapai kecemerlangan dalam menyebarkan syiar Islam dan mengimarahkan masjid/surau khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli seluruh negara.