Bantuan Komputer Riba kepada Mahasiswa

/ / Pendidikan
13 Januari 2025, Kota Samarahan – Seramai 35 orang pelajar terpilih daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah menerima sumbangan komputer riba melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program SISWA+ 2024 (sumbangan komputer riba kepada mahasiswa), UiTM Cawangan Sarawak pada hari ini yang diadakan bertempat di Ruang Legar PTAR, UiTM Sarawak, Kampus Samarahan 2, Kota Samarahan, Sarawak.
 
Majlis Penyampaian Sumbangan Program SISWA+ 2024, UiTM Cawangan Sarawak ini telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Abdul Aziz Bin Abd. Jalal dan turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar yang mewakili Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, Y.Bhg. Prof Madya Dr Saimi Bin Bujang, Koordinator MASMED UiTM Cawangan Sarawak, Y.Bhg. Dr Malvern Abdullah, Y.Bhg. Ketua-ketua Pusat Pengajian, pegawai-pegawai UiTM Cawangan Sarawak, barisan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 dan para pelajar penerima sumbangan yang diraikan.
 
Dalam ucapannya, Y.Bhg. Abdul Aziz Bin Abd. Jalal menyatakan bahawa Komputer Riba yang disumbangkan pada hari ini diharapkan dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada para pelajar untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran agar satu hari nanti dapat memberikan manfaat kembali kepada masyarakat, agama dan negara.
 
Majlis ini diakhiri dengan sesi penyerahan simbolik replika cek sumbangan Program SISWA+ 2024, UiTM Cawangan Sarawak dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM118,125.00 dan penyampaian komputer riba kepada mahasiswa terpilih serta sesi bergambar bersama sebagai kenangan. Para mahasiswa yang menerima sumbangan meluahkan rasa syukur dan berterima kasih diatas bantuan yang diberikan.