PROGRAM BANTUAN PASCA BENCANA SKUAD IHSAN MADANI DI TENOM, SABAH
22 Januari 2026 (Khamis), Tenom, Sabah – Keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir terus dizahirkan menerusi pelaksanaan Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan Madani yang telah diadakan di daerah Tenom, Sabah, bagi membantu mangsa msibah, pelajar dan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir.
Program ini merupakan kerjasama strategik di bawah Skuad Ihsan Madani (Hal Ehwal Agama) bersama agensi- agensi di Bawah JPM (HEA) dalam menyantuni rakyat yang ditimpa musibah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI -MADANI Membantu.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut mengiringi penyampaian sumbangan ialah Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP serta Tuan Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim, Ketua Divisyen Sosioekonomi YAPEIM. Turut hadir sama ialah wakil agensi-agensi Persekutuan dan Negeri termasuk Tuan OCPD IPD Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Jabatan Kebajikan Masyarakat, YADIM Sabah serta Lembaga Tabung Haji Sabah.
Melalui inisiatif ini, Yayasan Taqwa MAIWP telah menyalurkan sumbangan berupa 204 bakul makanan kepada penerima manfaat dengan nilai keseluruhan RM20,400 sebagai usaha meringankan beban keluarga yang terkesan akibat banjir. Bantuan ini diharap dapat membantu keperluan asas penerima dalam tempoh pemulihan pasca bencana.
Selain bantuan bakul makanan tersebut, Yayasan Taqwa MAIWP turut menyalurkan peruntukan sumbangan kepada dua (2) buah masjid dan tujuh (7) buah surau di Daerah Tenom yang terjejas akibat banjir dengan nilai RM5,000 bagi setiap Surau dan Masjid, melibatkan jumlah keseluruhan RM45,000.
Dengan penyaluran bantuan ini, jumlah keseluruhan peruntukan sumbangan Yayasan Taqwa MAIWP bagi Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan Madani di Tenom, Sabah adalah sebanyak RM65,400 sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Taqwa dalam menyantuni komuniti terkesan serta memperkukuh peranan institusi agama sebagai pusat sokongan masyarakat pasca bencana.
Selain itu, YAPEIM turut menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM45,450 bagi membantu pelajar serta sekolah yang terjejas, sekali gus memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan kebajikan pendidikan terus terpelihara.
Program bantuan ini amat signifikan dalam mencerminkan kesepaduan agensi serta keprihatinan kerajaan dan institusi kebajikan dalam menghadapi ujian bencana alam. Bantuan yang disalurkan bukan sahaja meringankan beban komuniti setempat, malah menjadi simbol solidariti dan sokongan moral kepada mangsa banjir.
Semoga usaha berterusan melalui naratif MADANI Membantu ini terus menyantuni rakyat, memperkukuh kesejahteraan komuniti, serta memberi sinar harapan kepada mereka yang terkesan agar bangkit dan pulih daripada musibah banjir yang melanda.
















