Bantuan Persekolahan Kawasan Sepang

/ / Pendidikan
10 Januari 2026, Bandar Baru Salak Tinggi – Seramai 500 orang pelajar sekolah rendah & menengah diraikan melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2026, Kawasan Sepang. Melalui majlis ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM91,500 dalam bentuk set pakaian dan peralatan persekolahan.
 
Program yang diadakan bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Turut Hadir, Y.Bhg. Tuan Mohd Kamarul Arifin bin Mohd Wafa, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Y.Bhg. Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sepang serta pemimpin-pemimpin komuniti dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ibu bapa dan para pelajar.
 
Dalam ucapannya, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu menyatakan pendidikan merupakan tunjang penting dalam membina masa depan negara dan kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa komited dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan. Tambah beliau, Inisiatif yang dilaksanakan pada hari ini adalah sebagai sokongan tambahan kepada golongan ibu bapa yang memerlukan dengan mesej Madani Membantu.
Semoga dengan adanya bantuan persekolahan ini dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada para pelajar untuk hadir ke sekolah, belajar dan berjaya dalam pelajaran.