Pelancaran ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 1447H

/ / Dakwah
MAJLIS PELANCARAN IHYA’ RAMADAN PERINGKAT KEBANGSAAN 1447H/2026M
 
14 Februari 2026, Putrajaya – Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Dewan Syeikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut menyempurnakan gimik simbolik sebagai tanda bermulanya gerakan Ihya’ Ramadan di peringkat kebangsaan.
 
Antara pengisian utama program ialah Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan, Peluncuran Ops Ihsan 2.0, penyampaian sumbangan kepada 150 orang asnaf sekitar negeri Selangor serta penyampaian Sekolah Angkat Tabung Haji.
 
Sebagai simbolik penyerahan, para asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200.00 setiap seorang daripada Yayasan Taqwa MAIWP, selain sumbangan barangan daripada MAIWP, YAPEIM, YADIM, dan Nestle.
 
Turut mengiringi penyampaian sumbangan wang tunai ialah YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP.
 
Program ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk MAIWP, YAPEIM, YADIM serta rakan strategik Nestle.
 
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan serta memperkukuh agenda kebajikan ummah. Semoga sumbangan yang disalurkan dapat memberi kelegaan dan membantu para asnaf dalam membuat persediaan menyambut bulan Ramadan yang mulia.