Kursus Jati Diri Belia Orang Asli Tahun 2026

/ / Dakwah
07 – 09 Ogos 2026, Pasir Puteh, Kelantan – Yayasan Taqwa -MAIWP dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Jati Diri Belia Orang Asli Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Tok Aman Bali Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan.
 
Program ini melibatkan seramai 34 orang peserta dalam kalangan belia Orang Asli dari seluruh negara dan menjadi platform bagi memperkukuh jati diri, sahsiah, keyakinan diri serta semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda Orang Asli.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, JAKIM, YBhg. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, dalam ucapan perasmian tersebut beliau turut menekankan kepentingan pembentukan jati diri dan penghayatan nilai-nilai murni dalam melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berintegriti serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
 
Dalam majlis tersebut turut diadakan gimik pemotongan kek sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia, sebagai simbolik meraikan masyarakat Orang Asli dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia. Sambutan ini turut menjadi ruang untuk menyemai rasa bangga terhadap identiti dan warisan masyarakat Orang Asli, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
 
Sepanjang tiga hari kursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian yang memberi penekanan kepada kepimpinan, pembinaan sahsiah, kerja berpasukan, komunikasi, disiplin dan kesukarelawanan. Aktiviti yang dilaksanakan turut memberi peluang kepada peserta untuk membina keyakinan diri, mengembangkan potensi serta mengeratkan hubungan sesama belia Orang Asli.
 
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pembangunan belia bukan hanya tertumpu kepada pencapaian fizikal dan intelektual, malah turut menekankan pembentukan insan yang mempunyai nilai murni, akhlak, ihsan, rasa hormat, semangat perpaduan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
 
Kursus ini turut menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah dalam kalangan belia Orang Asli serta menyemai kesedaran bahawa mereka merupakan sebahagian penting daripada masyarakat yang mempunyai peranan dalam membina Malaysia MADANI yang inklusif, harmoni dan sejahtera.
 
Melalui usaha berterusan seperti ini, Yayasan Taqwa MAIWP komited untuk terus memperkasa belia Orang Asli agar tampil sebagai generasi yang berilmu, berkeyakinan, berakhlak dan berdaya kepimpinan, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah dan komuniti.