“Alhamdulillah… dapat jimat sikit. Duit tu boleh guna untuk keperluan lain.” Bagi sesetengah orang, RM10 untuk gunting rambut atau RM25 untuk menukar minyak hitam mungkin kelihatan kecil. Namun bagi penerima manfaat, RM35 yang dapat dijimatkan bermakna ada ruang untuk diperuntukkan kepada keperluan lain.
Itulah antara maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat yang mendapatkan manfaat di reruai Yayasan Taqwa MAIWP sempena Program MADANI Kita (PMK) yang berlangsung pada 26 September 2026, bertempat di Perkarangan Mini Stadium Pendang, Kedah.
Menerusi program ini, Yayasan Taqwa MAIWP menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan tukar minyak hitam motosikal secara percuma sebagai salah satu inisiatif untuk membantu meringankan perbelanjaan harian masyarakat setempat. Walaupun bentuk bantuannya sederhana, manfaatnya dirasai secara langsung.
Kerana nilai sebuah bantuan bukan hanya pada jumlah yang disalurkan, tetapi pada sejauh mana ia memberi manfaat dan meringankan keperluan penerima.
Program MADANI Kita merupakan inisiatif anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta agensi-agensi di bawah JPM dalam usaha mendekati, menghimpunkan dan memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat.
Selain reruai Yayasan Taqwa MAIWP, program turut menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti kepada masyarakat termasuk Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan serta perkhidmatan daripada agensi-agensi kerajaan, yang dapat dimanfaatkan secara terus oleh warga Pendang.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, yang turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah, bakul makanan serta sumbangan kepada penerima. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Brigedier General Datuk Mohd Ajib bin Ismail.
Bagi Yayasan Taqwa MAIWP, penyertaan dalam program sebegini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendekati masyarakat, memahami keperluan mereka dan menyampaikan manfaat secara lebih dekat serta bersasar.
Semoga inisiatif seperti ini terus menjadi medium yang membawa manfaat kepada masyarakat dan memperkukuh semangat kebersamaan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat.

































