12 Oktober 2026 | Kompleks Seri Perdana, Putrajaya
Di sebalik setiap ujian, tersimpan hikmah. Di sebalik kesabaran, hadir kekuatan.
Kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar sebuah perjalanan kehidupan yang dirakamkan dalam al-Quran, tetapi sebuah madrasah yang mengajar manusia tentang keteguhan iman, kesabaran menghadapi ujian, kemuliaan akhlak dan kebijaksanaan dalam menggalas amanah.
Keindahan pengajaran inilah yang menjadi inti penghayatan dalam Majlis Ilmu MADANI, menerusi Syarahan Muqaddimah Kitab Tafsir Surah Yusuf oleh Imam al-Ghazali, yang disampaikan oleh ulama dan sarjana Islam tersohor dari Turkiye, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani.
Melalui kupasan khazanah ilmu Imam al-Ghazali, para hadirin dibawa mendalami kandungan dan pengajaran Surah Yusuf, sekali gus menginsafi betapa al-Quran sentiasa menjadi pedoman dalam mendepani cabaran kehidupan.
Daripada kisah Nabi Yusuf AS, kita belajar bahawa ujian tidak semestinya melemahkan, kedudukan bukan ukuran kemuliaan dan kekuatan sebenar terletak pada iman, kesabaran serta keupayaan memelihara akhlak dalam setiap keadaan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, bersama YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ketua-ketua agensi serta para jemputan.
Dalam suasana penuh bermakna, YAB Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Syeikh Muhammad Fadhil, sambil mengenang bimbingan dan dorongan yang pernah diberikan oleh ulama tersebut ketika beliau melalui detik-detik sukar suatu ketika dahulu.
Penganjuran Majlis Ilmu MADANI seumpama ini mencerminkan usaha berterusan untuk menyuburkan budaya mencintai ilmu, mengangkat martabat keilmuan Islam dan membina masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan, bahkan menjadikan adab serta akhlak sebagai asas kehidupan.
Kerana ilmu yang sebenar bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk dihayati dan diterjemahkan dalam tindakan.
Semoga majlis seperti ini terus menjadi wadah menyemai kefahaman, memperkukuh jiwa dan membentuk kepimpinan serta masyarakat MADANI yang berilmu, berakhlak dan berjiwa ihsan.



















