Santai 2 Roda & Kayuhan Madani

/ / Dakwah
30 Kilometer, Lima Masjid, Satu Komitmen Bersama Masyarakat
 
25 Oktober 2026, Hulu Selangor
 
Kayuhan sejauh 30 kilometer bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi turut menjadi ruang untuk mendekati masyarakat, mengeratkan ukhuwah dan menyantuni keperluan komuniti setempat.
 
Menerusi Program Komuniti Rakyat MADANI: Santai 2-Roda & Kayuhan MADANI @ Batang Kali dan Jelajah 5 Masjid, kayuhan yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan ini menghubungkan peserta dengan lima buah masjid di sekitar Hulu Selangor.
 
Turut menyertai program ialah Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr. Muhamad Yamin bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, serta wakil agensi agama dan pemimpin tempatan.
 
Kayuhan bermula dengan sesi flag-off di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa 2, sebelum diteruskan ke Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, dan Masjid Nurul Islamiah, Sungai Choh. Perjalanan berakhir di Masjid Nurul Iman, Serendah, sebagai persinggahan terakhir dalam jelajah lima buah masjid ini.
 
Di setiap persinggahan, program turut diisi dengan aktiviti seperti Kuliah Dhuha, gotong-royong dan pelbagai inisiatif menyantuni komuniti, termasuk golongan asnaf dan pelajar yang memerlukan. Kehadiran peserta bukan sekadar memeriahkan masjid, malah membuka ruang untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
 
Yayasan Taqwa MAIWP turut mengambil bahagian dalam menyantuni komuniti di setiap masjid yang dikunjungi menerusi perkongsian bersama, sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan bersama masyarakat.
 
Semoga dengan usaha ini, masjid dan masyarakat dapat bergerak bersama, dan manfaatnya bukan sekadar dirasai pada hari program, tetapi turut menyemai semangat kebersamaan dan saling membantu yang boleh diteruskan dalam kehidupan seharian.