Generasi Berilmu, Komuniti Berdaya

/ / Pendidikan
28 Oktober 2026, Bukit Katil – Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Peringkat Negeri Melaka 2026 telah dilaksanakan sebagai wadah utama dalam membina kesatuan fikrah dan amal bagi memartabatkan syiar Islam di Malaysia selaras dengan gagasan Malaysia Madani.
 
Ucaptama program yang diadakan bertempat di Dewan Konvensyen Bayou Lagoon Park Resort ini telah disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Adly bin Zahari selaku Timbalan Menteri Pertahanan. Program yang diadakan ini bermatlamat untuk mengetengahkan barisan tokoh ilmuwan dan pemimpin yang berkaliber dengan membawa pendekatan Islam yang bersifat sederhana dan rahmah. Usaha ini dilihat sangat kritikal dalam membentuk jaringan yang lebih luas di kalangan para belia dan anak muda bagi menyumbang kepada pembangunan peradaban negara yang lebih inklusif dan mampan di masa hadapan.
 
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyampaian simbolik sumbangan daripada Yayasan Taqwa-MAIWP kepada wakil penerima sumbangan Program SISWA+ (Sumbangan Komputer Riba kepada Mahasiswa) 2026 Zon Selatan dan penyampaian Cek Cura Sumbangan Program Sentuhan Ihsani Madani Pondok dan Madrasah (Bantuan peralatan ICT kepada Pondok & Madarasah), Peluncuran Program Dakwah Negara Peringkat Negeri Melaka dan Penyerahan Sijil Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Daie Madani Melaka sebagai simbolik sokongan padu terhadap agenda pendidikan dan pemerkasaan dakwah buat golongan belia di negeri Melaka.
 
Penganjuran berskala besar ini merupakan hasil sinergi strategik antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Taqwa MAIWP sebagai penyelaras bersama. Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi penting termasuk YAPEIM, IKIM, TV Alhijrah, Tabung Haji, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Turut hadir memeriahkan majlis adalah barisan kepimpinan agensi iaitu Y.Bhg. Datuk Azman bin Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Y.Bhg. Tuan Haji Zamri Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM; Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP Y.Bhg. Tuan Haji Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, dan para pelajar.
 
Melalui penganjuran HAMKA 2026 Peringkat Negeri Melaka ini, komuniti belia dan anak muda diharapkan dapat memanfaatkan platform ini untuk memperkukuh jati diri serta peranan mereka dalam mendepani cabaran zaman. Pendekatan yang dibawa ini diyakini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam ilmu agama, malah kompeten dalam aspek pembangunan sosial selaras dengan aspirasi negara.
 
Yayasan Taqwa MAIWP menaruh harapan tinggi agar program ini menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat dan kekal komited dalam memperjuangkan agenda pendidikan demi masa depan ummah yang lebih gemilang.