Hat Yai, Thailand, 29 – 31 Julai 2025– Bersempena mempromosikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al – Quran Peringkat Antarabangsa (MTQHA) kali ke – 65 yang bakal berlangsung 2 hari lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Dakwah telah menganjurkan program Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur al-Quran.
Program ini bermula dari KL Sentral menaiki ETS hingga Padang Besar kemudian diteruskan ke Hat Yai, Thailand. Sepanjang perjalanan tersebut alunan ayat suci Al – Quran berkumandang tanpa henti. Seramai 39 orang Huffaz dari Darul Quran JAKIM dan Rakan Siswa YADIM turut serta dalam program tersebut.
Setibanya di Hat Yai turut diadakan program menyantuni masyarakat Islam di selatan Thailand dan penyerahan sumbangan kepada beberapa institusi Islam di Hatyai.
Yayasan Taqwa – MAIWP menyampaikan sumbangan berupa tunai kepada beberapa institusi pandidikan yang berjumlah keseluruhannya RM20,000.00. Turut diserahkan adalah sumbangan melalui Tabung Musaadah JAKIM, naskhah Al-Quran wakaf dan cenderahati TV AlHijrah telah disampaikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, YBrs. Dr. Muhamad Yamin bin Ismail. Turut hadir bersama Pengarah Darul QuranTuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Ketua Unit Dakwah Yayasan Taqwa-MAIWP, Puan Raudhah binti Kursus @ Othman, Pengurus Hal Ehwal Korporat TVAlHijrah, En. Sazri Abd Sani dan Pengasas Yayasan Al-Hidayah, Ustaz Adul Mateam.
Lima instusi yang menerima sumbangan tersebut iaitu Yayasan Al-Hidayah, Sekolah Kallayanchongrasan Masjid Bannue, Maahad Tahfizul Quran Jamiul Kubra, Maahad Tahfuzul Quran Al-Abdia dan Pusat Islam Satun.
Sumbangan yang diberikan jelas menzahirkan keprihatinan dan juga merupakan salah satu inisiatif bagi membantu institusi Islam yang memerlukan di negara Thailand khususnya mereka yang mengurus dan mengusahakan madrasah, maahad tahfiz dan juga masjid.
Dalam perjalanan pulang turut dialunkan bacaan ayat suci Al Quran dan diakhiri dengan Khatam al-Quran.
Di samping menjadi usaha mempromosi MTQHA, program ini turut dilaksankan bagi menyampaikan mesej kepada umat Islam bahawa mengisi masa terluang dengan membaca Al Quran amat digalakkan dan disarankan. Selain itu dapat menepis tanggapan bahawa membaca Al Quran hanya boleh dilakukan di masjid atau dalam keadaan formal sahaja. Hakikatnya, tadabbur Al Quran boleh dilakukan di mana- mana sahaja, termasuk di dalam kenderaan.
Kemuncak program tersebut disambut meriah dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di ruang lobi KL Sentral.
Turut serta Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee dan Ketua Pegawai Operasi KTMB, Encik Afzar Zakariya.
Program ini hasil kerjasama erat agensi- agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan, mengambil berat dan saling menyantuni antara satu sama lain. Semoga dengan semangat ukhwah Islamiah dan hubungan baik dua negara serantau ini dapat dijalinkan dengan lebih erat dan pastinya Islam bukan sekadar mekar di bumi Malaysia malah melangkau seluruh dunia.























