
Parit Buntar, 8 Februari – Bagi memberikan keceriaan kepada para pelajar dalam menghadapi sesi persekolahan yang baharu, seramai 500 orang pelajar telah menerima sumbangan melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Parit Buntar yang telah diadakan bertempat di Dataran Kerian Permai, Parit Buntar, Perak. Melalui program ini, para penerima telah menerima sumbangan set persekolahan lengkap iaitu baju sekolah, seluar/kain, kasut, stokin, tudung/tali pinggang, alat tulis dan beg sekolah.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg Tuan Suhaili Bin Mohd Yusoff, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Titi Serong, Abd Rahman, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, En Muhamad Nakhaie Bin Abd Wahab dan para pelajar penerima sumbangan serta ibu bapa yang diraikan.
Majlis ini diakhiri dengan sesi penyerahan simbolik replika cek sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Parit Buntar dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM87,500 dan penyampaian sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan kepada penerima terpilih serta sesi bergambar bersama. Para ibu bapa pelajar penerima sumbangan meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan.