Bantuan Persekolahan Kawasan Port Dickson

/ / Pendidikan
PROGRAM SUMBANGAN JOM KE SEKOLAH (JKS) 2026 KAWASAN PORT DICKSON
 
25 Januari 2026, PORT DICKSON – Seramai 400 orang pelajar sekolah rendah & menengah diraikan melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2026, Kawasan Port Dickson. Melalui majlis ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM73,200 bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
 
Program yang diadakan bertempat di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Intan Perdana ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan. Turut Hadir, Adun Linggi merangkap Exco Kerajaan Negeri Sembilan, YB Datuk Haji Mohd Faizal Bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Bin Hj. Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Tuan Hj. Abdullah Zuhdee Bin Ab. Halim, Penyelaras Dun Bagan Pinang, Mohd Najib Bin Mohd Isa serta tetamu jemputan ibu bapa dan para pelajar.
 
Dalam ucapannya, YB Senator Dr. Zulkifli berkata bahawa sumbangan yang diberikan pada hari ini bertujuan untuk memberi keceriaan kepada para pelajar di samping meringankan beban kewangan ibu bapa. Beliau turut menegaskan agar para pelajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran dan menuntut ilmu sebaik mungkin, selaras dengan harapan ibu bapa serta guru-guru demi membentuk generasi masa hadapan yang berilmu dan berakhlak.
 
Diharapkan agar bantuan persekolahan ini dapat menyuntik semangat serta meningkatkan motivasi para pelajar untuk hadir ke sekolah seterusnya belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan dalam pelajaran.