Bantuan Persekolahan Pelajar Asnaf Kajang

/ / Pendidikan
20 FEBRUARI 2025, Kajang – Seramai 102 orang pelajar Asnaf dari kawasan sekitar Rumah Pangsa Fasa 8A, Taman Bukit Merah, Kajang telah mendapat manfaat melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 yang berlangsung di Ruang Tempat Letak Kereta Rumah Pangsa Blok K & L , Kajang, Selangor.
 
Melalui program tersebut, setiap pelajar telah menerima set persekolahan berupa Baju, Seluar/Kain, Kasut, Stokin, Tali Pinggang/Tudung, Alat Tulis dan Beg Sekolah yang berjumlah RM175 setiap set. Sumbangan yang disampaikan ini bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan.
 
Dalam ucapan, YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Bin Haji Mokhtar menyatakan, “Keperluan sekolah yang baharu dan berkualiti bukan sahaja meningkatkan motivasi malah dapat menyuntik semangat dan keyakinan kepada para pelajar.” Turut berpesan kepada ibu bapa pelajar, supaya tanggungjawab didalam pendidikan pelajar-pelajar ini, bukan sahaja terletak kepada Agensi yang menyalurkan bantuan semata-mata, bahkan ini juga merupakan tanggungjawab bersama ibu bapa didalam mendidik anak-anak untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Bin Haji Mokhtar dan turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa – MAIWP, Y.Bhg. Tuan Haji Suhaili Bin Mohd. Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Pengerusi Persatuan Komuniti Blok K & L Taman Bukit Mewah Kajang, Y.Bhg. Encik Jelis bin Che Ahmad, para pelajar dan ibu bapa penerima sumbangan. Inisiatif ini adalah salah satu usaha murni untuk menyediakan keperluan persekolahan yang berkualiti kepada para pelajar yang memerlukannya di seluruh negara.
 
Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil yang telah dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menyediakan persiapan sempena musim persekolahan baharu dan dapat menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran.