Iftar Bersama Masyarakat Orang Asli Bukit Manchong

/ / Dakwah
MAJLIS IFTAR MADANI BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASLI BUKIT MANCHONG
 
01 Mac 2026, Hulu Selangor – Majlis Iftar MADANI sempena bulan Ramadan yang mulia ini bersama Masyarakat Orang Asli telah berlangsung dengan penuh kemesraan dan bermakna di Kampung Orang Asli Bukit Manchong dengan kehadiran seramai 1150 orang .
 
Penganjuran majlis ini bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim,menyantuni komuniti setempat dengan membawa aspirasi Madani Membantu serta menyemai nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang. Suasana berbuka puasa bersama yang penuh harmoni jelas menzahirkan semangat ihsan dan keterangkuman selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan kehadiran YB Menteri sekaligus mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kebajikan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
 
Selain berbuka puasa, majlis turut disertakan dengan sesi ramah mesra ziarah rumah ke rumah, serta penyampaian sumbangan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat Orang Asli. Pada majlis yang sama juga, YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyempurnakan penyerahan projek baik pulih Surau Jumaat Surau Nurul Iman, KOA Bukit Manchong.
 
Yayasan Taqwa – MAIWP telah menyampaikan sumbangan berbentuk Bakul MADANI dan sumbangan tunai kepada 225 Ketua Isi Rumah (KIR). Turut diserahkan sumbangan pengimarahan surau kepada Surau Nurul Iman, KOA Bukit Manchong.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, Yang Amat Dihormati Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Raja Dato’ Muzaffar bin Raja Redzwa, Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa- MAIWP, Yang Berusaha Tuan Mohamad Anis bin Othman, Pengarah JAKOA Selangor dan Kuala Lumpur serta wakil agensi Persekutuan dan Negeri.
 
Majlis ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) dan Yayasan Taqwa – MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta rakan strategik Nestle.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI dalam menyemarakkan bulan Ramadan disamping membantu masyarakat yang memerlukan khususnya masyarakat Orang Asli.