
BERANANG 2 Disember – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi Program Bantuan Musibah di Seluruh negara. Peruntukan ini telah disalurkan kepada Yayasan Taqwa – MAIWP yang bertindak selaku penyelaras bagi program bantuan musibah ini.
Majlis pada hari ini merupakan penyerahan bantuan sumbangan dan bakul rahmah kepada mangsa yang terkesan dengan musibah ribut dan banjir pada September 2023 yang lalu melibatkan sebanyak 354 mangsa daripada 10 buah kampung di daerah ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 255,050.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Lima Puluh Lima Ribu Lima Puluh Sahaja).
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan menyerahkan cek cura Sumbangan Bantuan Musibah dan Bakul Rahmah Mukim Beranang dan Semenyih, Hulu Langat Selangor kepada YB Tuan Mohd Sany Bin Hamzan sebagai simbolik penyerahan sumbangan bantuan kepada mangsa ribut dan banjir di Mukim Beranang dan Semenyih, Daerah Hulu Langat, Selangor. Turut hadir bersama,Y.Brs Tuan Haji Zainal Abidin Bin Shaik Zakaria, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg ASP Khairul Firdaus Bin Ramli, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kajang,Y.Bhg Encik Mohammad Samsudin Bin Haji Satar, Penghulu Mukim Beranang, Wakil Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Wakil Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, Pengurusan Tertinggi Yayasan Taqwa – MAIWP, , Pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor, Para Pengamal Media, dif-dif jemputan serta keluarga mangsa musibah yang terlibat.
Antara objektif utama program ini dilancarkan adalah untuk memberi semangat dan kelegaan mereka yang terkesan akibat musibah melalui bantuan sumbangan dan bakul makanan selain dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga.
Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti hidup serta motivasi para penerima sumbangan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.