Penyerahan Bayt Al Rahmah di Kelantan

/ / Kebajikan
KOTA BHARU, 2 Januari 2026 – Keprihatinan terhadap nasib mangsa bencana terus dizahirkan apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa MAIWP, menerusi Program Bantuan Musibah di Seluruh Negara, telah menyalurkan bantuan bina rumah baharu kepada mangsa kebakaran di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan.
 
Penerima bantuan, Wan Hasma binti Wan Zainal, 68 tahun, yang tidak bekerja dan tinggal bersama suami, sebelum ini kehilangan tempat berteduh apabila kediamannya musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran pada 12 Januari 2024, sekitar jam 8.00 pagi, dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik.
Melalui inisiatif ini, sebuah rumah kekal telah dibina dengan anggaran kos RM119,998.90 dan mengambil tempoh empat bulan untuk disiapkan, sekali gus menyediakan ruang kehidupan yang lebih selamat dan selesa kepada penerima.
 
Majlis penyerahan kunci rumah telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, bertempat di tapak rumah penerima. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Dr. Hafidzah binti Haji Mustakim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama; YBhg. Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pengarah YaPEIM; YBhg. Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP; YBhg. Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan; Ketua Pegawai Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan, serta YBhg. En. Ridhwan bin Abdul Rahman.
 
Segala usaha ini adalah selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri melalui gagasan Malaysia MADANI yang menekankan keperluan agar agensi dan institusi berkaitan bergerak dengan lebih pantas, telus dan memahami denyut nadi rakyat. Agenda menyantuni rakyat ditegaskan bukan sekadar pelaksanaan program kebajikan, sebaliknya merupakan suatu tuntutan moral, nilai kemanusiaan dan amanah peradaban.
 
Berteraskan kerangka Malaysia MADANI yang mengangkat prinsip Ihsan, Keberdayaan, Kemampanan, Hormat, Kasih Sayang dan Kepercayaan, setiap pendekatan kebajikan digerakkan secara responsif, inklusif dan berpaksikan penyelesaian, demi memastikan intervensi yang dilaksanakan benar-benar mengangkat martabat insan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
 
Pendekatan ini turut mencerminkan semangat MADANI Bekerja dan MADANI Membantu, yang menuntut tindakan berterusan dan berkesan dalam meringankan beban golongan yang ditimpa musibah, khususnya dalam situasi pascabencana. Selaras dengan itu, penubuhan Skuad Ihsan MADANI menjadi satu inisiatif strategik dalam memperkukuh agenda kebajikan dan kemanusiaan negara, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan secara pantas, tersusun dan bersepadu kepada masyarakat yang memerlukan.
 
Diharapkan sumbangan ini bukan sekadar menyediakan sebuah tempat berteduh, malah mampu mengembalikan semangat, harapan dan rasa aman kepada penerima di samping menyemai budaya keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
 
Untuk rekod, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM25 juta kepada Yayasan Taqwa-MAIWP selaku penyelaras Program Bantuan Membina dan Baik Pulih Rumah Akibat Musibah di Seluruh Negara. Skop bantuan program ini merangkumi mangsa yang terkesan akibat pelbagai bentuk musibah termasuk banjir, ribut, kebakaran dan bencana lain yang seumpamanya. Sehingga kini, Yayasan Taqwa MAIWP telah berjaya membantu pembinaan semula sebanyak 108 buah rumah di seluruh negara, dengan 17 buah daripadanya telah siap dibina di Negeri Kelantan.