Program 24 jam Boleh Membaca Al-Quran

/ / Dakwah
27-29 Oktober 2023, Kuantan, Pahang- Yayasan Taqwa-MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta PERKIM Pahang telah menganjurkan Program Intensif Celik Al-Quran Bersama Saudara Baru di Negeri Pahang Tahun 2023 bertempat di E-Red Hotel, Kuantan, Pahang.
 
Program ini telah disertai seramai 76 orang saudara baru di sekitar negeri Pahang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Majoriti adalah daripada saudara baru Orang Asli, diikuti Cina, India dan lain-lain kaum seperti Kadazan, Dusun, Murut, Thailand, Filipina dan juga Jepun.
 
Program ini menggunakan teknik bacaan al-Hira’ (24 jam boleh membaca al-Quran) yang memfokuskan kepada 13 bab pelajaran dan alhamdulillah lebih daripada separuh peserta berjaya menguasai teknik dan kaedah ini di akhir program. Para peserta dibahagikan kepada lapan (😎 kumpulan yang diketuai dan dibimbing oleh seorang fasilitator yang berpengalaman dalam mengajar teknik al-Hira’ ini.
 
Program telah disempurnakan oleh YH Dato’ Hj Abdul Zaki bin Md Zain, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Turut hadir ialah Tn Hj Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, En Mahadi Bin Deraman, Setiausaha Agung PERKIM Pahang dan Ustaz Muhammad Syawal Bin Sa’ad, Pengarah Urusan Celik Al-Quran Centre (CQC) merangkap konsultan yang dilantik untuk mengajar teknik al-Hira’ ini.
 
Rata-rata peserta memberikan respons yang positif berkenaan teknik al-Hira’ ini dan mengganggap teknik ini lebih mudah untuk difahami dan boleh digunakan di pelbagai peringkat umur. Para peserta juga turut menerima sumbangan Bakul Makanan yang telah mendapat tajaan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berupa barangan kering dan juga beras.
 
Seramai lapan (😎 orang peserta terbaik telah dipilih berdasarkan potensi dan prestasi yang dinilai oleh fasilitator serta mereka yang berjaya menghabiskan dan memahami teknik ini dengan baik.
 
Semoga program seumpama ini dapat mendorong para saudara baru mempelajari al-Quran dengan lebih baik dan dapat membantu dalam memperbaiki bacaan dari semasa ke semasa. Insya Allah.