Putatan, 19 Februari 2026 – Program Majlis Santunan Rahmah – Ihya’ Ramadhan “Bulan Al-Quran, Bulan Penghayatan” ini telah diadakan dengan kerjasama Yayasan Taqwa-MAIWP sebagai rakan strategik dalam menyantuni institusi Masjid/Surau dan KAFA terpilih di sekitar Sabah.
Yayasan Taqwa-MAIWP menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan RM100,000 untuk 10 buah Masjid/Surau dan 10 buah KAFA terpilih di sekitar Sabah melalui majlis tersebut.
Program yang diadakan bertempat di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu, Sabah ini telah disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir, Y.Bhg. Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Tuan Hj. Yusdi bin Hj Nasip, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Y.Bhg. Tuan Hj. Hidam bin Haji Tory, Ketua Pejabat Tabung Haji Travel & Services Cawangan Kota Kinabalu, serta pemimpin-pemimpin komuniti, masyarakat dan para pelajar dengan kehadiran 1000 orang penyertaan.
Dalam ucapannya, YB Senator Puan Marhamah Rosli menyatakan sumbangan kepada institusi Masjid/Surau dan institusi pendidikan Islam pada hari ini merupakan salah satu agenda dalam Malaysia Madani iaitu untuk mengangkat Institusi Islam ke tahap yang lebih baik di samping majlis yang diadakan sebagai usaha menghidupkan semangat Ramadhan serta menjayakan aspirasi JPM (HEA) dengan semangat Madani Membantu.
Turut diadakan melalui Majlis Santunan Rahmah ini adalah sesi tadabbur Al-Quran dan muhasabah jiwa yang disampaikan hampir dua jam oleh YB Timbalan Menteri, dengan pengisian yang penuh makna dan menyentuh hati. Dalam sesi tersebut, beliau turut menyampaikan nasihat yang menyuntik jiwa rohani, mengajak para hadirin untuk memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, memperbaiki akhlak serta menghayati nilai kesyukuran dalam kehidupan seharian.
Selain itu, program turut diserikan dengan persembahan nasyid serta acara cabutan bertuah yang menambah kemeriahan majlis.












