Program Multaqa Ulama & Umara Zon Utara

/ / Dakwah
05 Julai 2026, Permatang Pauh – Program Multaqa Ulama & Umara Zon Utara Sempena Simfoni Dakwah Sebarkan Salam telah dilaksanakan dengan jayanya sebagai platform utama dalam memperkasa penyampaian dakwah Islam melalui pendekatan yang inklusif, santai, dan berhikmah bagi memupuk keharmonian masyarakat setempat.
 
Program yang berlangsung selama dua hari ini diadakan di Masjid Timah dan memfokuskan kepada pengukuhan peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan komuniti melalui pelbagai pengisian bermakna. Selain aktiviti dakwah, program ini turut menyantuni masyarakat menerusi pelaksanaan inisiatif kebajikan, pendidikan, kesihatan, serta aktiviti kesukarelawanan yang melibatkan penyertaan aktif golongan belia di sekitar Permatang Pauh.
 
Selain itu, program ini juga menjadi platform perbincangan isu-isu semasa di antara Ulama & Umara yang menyentuh kepentingan umat islam dan negara. Hasil dari program ini dapat mencari satu resolusi dan panduan yang jelas dalam pelaksanaan dasar dan program berbentuk kefahaman Islam yang sederhana, progresif dan berteraskan nilai-nilai Islam.
 
Kemuncak program tersebut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Yayasan Taqwa-MAIWP berjumlah RM320,000.00 yang disasarkan untuk manfaat institusi agama dan pendidikan setempat. Sumbangan tersebut telah diagihkan kepada 28 buah masjid dan empat buah institusi pendidikan di sekitar Permatang Pauh. Sumbangan ini bagi memastikan kelestarian pengurusan dan aktiviti pendidikan Islam terus diperkasakan.
 
Kejayaan penganjuran oleh JAKIM ini merupakan hasil sinergi strategik yang erat antara pelbagai agensi agama termasuk Yayasan Taqwa MAIWP, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Lembaga Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan beberapa syarikat korporat.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dr Zulkifli Bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir menyerikan majlis adalah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Tn Ahmad Talmizi Bin Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP Dr Mohd Faridh Hafez Bin Mhd Omar serta wakil dari Agensi Persekutuan dan Negeri.
 
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan Malaysia MADANI dalam memastikan syiar Islam terus berkembang subur melalui kaedah yang dekat di hati rakyat. Melalui pelaksanaan program seperti ini, impak positif dapat dirasai secara langsung oleh komuniti dalam membina masyarakat yang lebih berdaya saing dan teguh jati dirinya.
 
Yayasan Taqwa MAIWP kekal komited untuk terus menyokong agenda dakwah dan kebajikan demi memastikan kesejahteraan ummah di seluruh negara sentiasa terpelihara.