PROGRAM SAHSIAH UNGGUL INDIVIDU TERBILANG (SUIT) 2019, PERINGKAT NEGERI PAHANG

/ / Pendidikan

Seramai 200 orang pelajar tingkatan 3 hingga 5 yang terpilih telah mengikuti Program Sahsiah Unggul Individu Terbilang (SUIT) 2019, peringkat Negeri Pahang yang diadakan pada 15 Julai 2019 bertempat di Dewan SMK Sultan Ahmad Shah. Program yang julung kalinya diadakan ini merupakan program anjuran Yayasan Taqwa (MAIWP) yang memfokuskan kepada pembentukan sahsiah diri pelajar khususnya kepada pelajar di peringkat menengah. Pelaksanaan program ini adalah berobjektifkan untuk memberi kesedaran dan membentuk para pelajar khususnya pelajar tingkatan 3 hingga 5 (peringkat kritikal dalam menempuh usia remaja) ke arah mempunyai keperibadian dan sahsiah diri yang baik. Melalui program yang dikendalikan oleh penceramah jemputan khas iaitu Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Saifullah, peserta dirangsang untuk melakukan perubahan diri melalui integrasi pada peringkat fizikal, mental, rohani, emosi dan sosial. Program ini juga dijalankan bagi membina keyakinan diri pelajar bahawa mereka telah dicipta dengan sebaik kejadian dan bukan dicipta untuk gagal. Peserta juga akan dibimbing untuk membuat persediaan untuk menghadapi cabaran dunia di masa akan datang dengan jati diri yang mantap dan komunikasi yang cemerlang. Melalui maklumbalas yang diberikan oleh Puan Nor Hasmanazil Aziza Binti Mustapa, guru bimbingan dan kaunseling di SMK Sultan Ahmad Shah, secara keseluruhannya beliau berpandangan keseluruhan program ini telah mencapai objektif dan berharap agar program ini diteruskan pada masa hadapan.