PROGRAM SKUAD KECEMERLANGAN AKADEMIK (SCAD) 2017, PERINGKAT NEGERI PERLIS

/ / Pendidikan

Pada 21 hingga 23 April 2017 yang lalu, Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menganjurkan Program Skuad Kecemerlangan Akademik (SCAD) 2017 yang telah diadakan di Tasoh Lake Resort, Perlis. Program berkonsepkan “Smart Muslim Student’s Camp” yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini telah berjaya mengumpulkan seramai 80 pelajar dari seluruh negeri Perlis yang bakal mengambil Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Program ini juga turut diselia oleh 3 orang guru pengiring bersama-sama 8 orang barisan fasilitator daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara objektif utama diadakan program SCAD ini adalah untuk membentuk generasi pelajar yang bermotivasi dan komited dalam meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri, membina tahap keyakinan yang tinggi dan dapat membentuk semangat berpasukan yang mantap dan penyayang selain dapat mendedahkan kepada masyarakat berkenaan peranan yang dimainkan oleh institusi zakat seperti Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar Islam di seluruh negara.Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan turut menyampaikan slot motivasi kepada para peserta program pada hari terakhir program. Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Encik Azizan Bin Sulaiman, wakil daripada Pejabat Ahli Parlimen Padang Besar. Turut hadir, Y.Bhg. Encik Nor Halmey Bin Hamdah, Naib PresidenGPMS Peringkat Kebangsaan.