RM 1,158,550.00 Dana Bantuan Disalurkan kepada Mangsa Banjir Baling

/ / Dakwah
6 Julai 2022, Baling kedah – Seperti yang sedia maklum, pada lewat petang 4 Julai 2022 yang lalu telah berlaku musibah banjir di Daerah Baling, Kedah. Kejadian mula berlaku pada jam 6.30 petang dengan hujan lebat disusuli kepala air turun melalui sungai berhampiran Lata Celak, Kampung Iboi dan menyebabkan berlakunya banjir besar. Hampir kesemua kampung di sekitarnya ditimpa musibah ini dan telah menyebabkan beberapa buah rumah hanyut dibawa arus deras. Paling menyedihkan musibah kali ini meragut 3 nyawa dalam satu keluarga, mangsa tidak sempat menyelematkan diri oleh kerana kejadian berlaku amat cepat.
Justeru, pada hari ini Yayasan Taqwa – MAIWP bersama agensi Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia-JAKIM turun menyantuni mangsa yang terlibat.
 
Skuad Musa’adah telah menyalurkan sumbangan secara keseluruhan berjumlah RM 1,158,550.00. Sumbangan tersebut berupa wang tunai dan kelengkapan sementara seperti toto, set kit solat, set makanan ready to eat, pampers, set kit wanita, dan susu bayi.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada wakil – wakil mangsa bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Jerai dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau An- Nur Taman Mesra, Kupang. Secara keseluruhan Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di kedua- dua Pusat Pemindahan tersebut yang direkodkan sehingga semalam seramai 110 KIR.
 
YB Timbalan Menteri juga turut menyantuni waris keluarga mangsa yang terkorban pada musibah dahsyat kali ini. Nyata dengan kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata amat menyedihkan buat kita semua.
Turut serta dalam misi bantuan tersebut YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBhg. Tuan Haji Mohd Shahadan bin Abdullah, Pegawai Daerah Baling, YBhg. Dato’ Razali bin Shahabudin, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, YBhg. Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa – MAIWP dan wakil- wakil agensi.
 
Dalam masa yang sama, YB Timbalan turut menziarahi SMA Yayasan Khairiah yang turut terkesan akibat banjir kali ini. Ketika kejadian hampir ke semua pelajar berada di asrama sekolah tersebut dan kejadian berlaku dengan sekelip mata sehingga tidak sempat menyelamatkan apa- apa barangan. Namun, bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku.
Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit sebanyak keperitan yang ditanggung oleh mangsa dan diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala.