28 Ogos 2022, Kelantan – Pada hari ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa telah mengadakan Majlis Penyerahan Replika Cek Sumbangan Bantuan Musibah Ribut dan Bantuan Baikpulih Masjid di Pengkalan Chepa, Pasir Puteh dan Bachok,Kelantan.
Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM251,000.00 bagi mangsa ribut yang terkesan di Pasir Puteh dan manakala RM50,000.00 disalurkan kepada Masjid Mukim Bukit Merbau di Pasir Puteh untuk membaikpulih akibat ribut.
Majlis Penyerahan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh merangkap Timbalan Menteri Pertanian & Industri Makanan II , YB Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi bin Hj Salleh serta kepada Pengerusi Masjid Mukim Merbau.
Turut hadir pada Majlis Penyerahan ini ialah Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg Dato’ Hj Razali bin Hj Shahabudin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, serta beberapa orang pegawai daripada Pejabat YB Menteri di JPM (HEA), wakil -wakil NGO dan Yayasan Taqwa.
Semoga sumbangan bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban serta memberi semangat baru kepada mangsa-mangsa ribut, sekaligus dapat memupuk masyarakat bagi menggalakkan beribadah walaupun dalam keadaan ditimpa ujian oleh Allah S.W.T.












