Senyuman mereka mengingatkan kita bahawa di sebalik ujian berat, perhatian dan keprihatinan tetap membawa makna.
Yayasan Taqwa MAIWP mendoakan agar setiap pesakit kanser dikurniakan kekuatan, ketabahan dan semangat yang tinggi dalam menjalani rawatan serta menghadapi ujian kesihatan. Semoga mereka terus tabah dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melalui perjalanan ini.
Harapan ini dizahirkan menerusi Program Sinar Harapan Kasih yang berlangsung pada 26 Oktober 2026 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Program anjuran CancerCare dengan kerjasama Yayasan Taqwa MAIWP, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan iGunner Malaysian Football Community ini bertujuan menyantuni pesakit kanser dalam kalangan asnaf melalui sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Kegembiraan yang ditunjukkan oleh para pesakit sepanjang program menjadi pengalaman bermakna buat semua yang hadir. Perhatian dan sokongan yang diberikan diharap dapat menceriakan mereka serta menyuntik semangat untuk terus kuat menghadapi rawatan.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa MAIWP, Muhamad Zikri bin Jinal.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, YBrs. Dr. Siti Salmy binti Mat Nor, yang mewakili Pengarah hospital, Presiden Persatuan Pengurusan Kanser Malaysia (CancerCare), Yang Berusaha Tuan Mohd Amin Ali bin Mohd Sidik serta Presiden iGunner Malaysian Football Community, YBrs. Cik Rosilawati binti Mohd Ali.
Sumbangan ini turut mencerminkan amanah dana zakat yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Yayasan Taqwa MAIWP untuk disampaikan kepada golongan asnaf yang layak.
Semoga bantuan ini membawa manfaat, memberikan kekuatan dan menyemai harapan buat para pesakit untuk terus tabah menghadapi ujian.














