09 Jun 2026, Sungai Petani – Yayasan Taqwa MAIWP terus komited menyantuni masyarakat setempat melalui Program Temu Seru bersama Komuniti Madani yang berlangsung di Sungai Petani, Kedah, bertujuan memperkukuh ukhuwah serta menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Pelbagai aktiviti kebajikan termasuklah penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau terpilih di sekitar daerah Sungai Petani, agihan kotak makanan kepada golongan kurang berkemampuan dan bantuan pendidikan kepada pelajar turut diadakan.
Melalui majlis tersebut, Yayasan Taqwa MAIWP turut menyerahkan cek cura sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM150,000 iaitu sumbangan kepada 10 buah Masjid dan 10 buah surau terpilih dalam daerah Sungai Petani. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penganjuran program ini merupakan inisiatif Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, dan TV Alhijrah. Sinergi ini mencerminkan kebersamaan agensi-agensi agama dalam memastikan bantuan sampai secara terus kepada akar umbi melalui pendekatan yang lebih bersepadu.
Majlis turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Y.Bhg. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Y.Bhg. Encik Ismail bin Harun, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda serta Y.Bhg. Ustaz Amir Zuhair bin Abdull Khalid, Pengerusi Daie MADANI dan para penerima sumbangan.
Inisiatif ini membuktikan komitmen tinggi pihak agensi dalam mendekati rakyat selaras dengan aspirasi gagasan MADANI. Program ini bukan sekadar platform pemberian bantuan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan pihak pentadbiran dengan suara masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan nasional.
Yayasan Taqwa-MAIWP menzahirkan harapan agar sumbangan yang diberikan dapat memberi impak positif kepada komuniti di Sungai Petani dan akan terus istiqamah dalam melaksanakan agenda dakwah serta kebajikan di seluruh negara.












