
31 Ogos 2023, Alor Gajah, Melaka – Program Santunan Kasih Merdeka Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Melaka telah diadakan pada hari ini yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa-MAIWP, Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) dan JAKOA bertempat di Kg Orang Asli Bukit Sebang, Alor Gajah, Melaka.
Program telah disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Faizal Bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantapan Kefahaman Islam (CPKI) JAKIM yang tiba di perkampungan orang asli dengan diiringi peserta konvoi merdeka dan disambut dengan tarian sewang oleh penduduk kampung sebagai menyambut ketibaan jemputan.
Turut hadir bersama En. Zulrushdi Bin Salleh, Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantapan Kefahaman Islam- Seksyen Orang Asli JAKIM, Pn. Raudhah Binti Kursus @ Othman, Ketua Unit Dakwah Yayasan Taqwa-MAIWP, Pn. Noorhafizah Binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIM, Batin Ripin, Tok Batin KOA Bukit Sebang dan wakil daripada JAKOA.
Seramai 250 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan empat (4) buah perkampungan orang asli iaitu KOA Bukit Sebang, KOA Bukit Payung, KOA Machap Umboo dan KOA Kubang Badak telah menerima sumbangan tunai dan bakul makanan berupa barangan kering.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang hari seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan juga sukaneka dewasa dan kanak-kanak yang telah mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Semoga usaha dan sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban semua penerima.