
09 September 2023, Parit Jawa, Muar Johor – Yayasan Taqwa MAIWP menyalurkan sumbangan kepada ahli keluarga mangsa kemalangan maut 6 sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan.
Kemalangan pada 1 Sept lepas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, telah mengorbankan bapa dan ibu Abdul Rahman iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43. Turut maut empat lagi adik-beradiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin ketika ini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor.
Yayasan Taqwa MAIWP turut bersimpati di atas kejadian yang berlaku dan mengambil inisiatif dengan menyalurkan sumbangan kepada ahli keluarga mangsa Abdul Rahman Amir Ruddin, 19 , juga merupakan anak sulung kepada mangsa maut pasangan Amir Ruddin Ismail, 46 dan Noorahimah Noor Muhamad, 43.
Sumbangan ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Haji Zabidi bin Nasan diiringi oleh Penolong Pegawai Daerah Muar, En. Muhamad Hanafi bin Ahmad Shamsi, serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (MAINJ Muar), Muhammad Ilham bin Abdul Hisam dan wakil-wakil yang terlibat.
Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban ahli keluarga mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian mereka.