LAWATAN MUSIBAH BANJIR KELANTAN 2017

/ / Kebajikan

Malaysia dikejutkan lagi dengan musibah banjir besar yang melanda beberapa negeri di sekitar pantai timur beberapa hari yang lepas. Ianya melibatkan negeri termasuk Terengganu dan juga Kelantan dimana kawasan yang terjejas ditenggelami air sepenuhnya sehingga menjejaskan pelbagai bentuk bantuan untuk sampai ke kawasan tersebut. Kumpulan pertama yang diarahkan oleh pengurusan tertinggi MAIWP dan Yayasan Taqwa ditugaskan untuk memantau keadaan kawasan yang terlibat terutamanya masjid, madrasah, dan sekolah agama negeri.

Untuk makluman, kawasan terjejas yang terawal dilawati ialah Machang, dimana penduduk menceritakan paras kenaikan air hingga ke paras peha. Tetapi sejak pada hari khamis yang lalu, banjir telah pun surut sepenuhnya dan penduduk diarahkan untuk pulang ke rumah masing-masing. Daripada pemerhatian kumpulan pemantau, musibah banjir seperti ini telah mendapat bantuan daripada pelbagai agensi tidak kira daripada agensi kerajaan dan juga bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba Malaysia serta Mission Dakwah Malaysia (NGO).

Seterusnya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah Rantau Panjang dimana ianya meliputi kawasan sehingga sempadan Malaysia – Thailand. Pemantaun diteruskan sehingga ke Madrasah Muhammadiah Rantau Panjang dan kami disambut baik oleh kakitangan sekolah. Pada ketika itu, kerja pembersihan sedang dilakukan oleh beberapa buah NGO. Dikhabarkan, paras air ketika musibah tersebut hampir mencecah ke aras tingkat satu bangunan sekolah, serta menjejaskan surau dan bangunan lain. Pemantaun diteruskan ke beberapa buah kampung disekitar Rantau Panjang dan didapati masjid, madrasah serta surau masih dalam keadaan baik memandangkan kebanyakan daripadanya terletak di kawasan yang tinggi.

Perjalanan diteruskan pada hari berikutnya ke Pondok Badriah Ja Besar, Kampung Bunohan. Kawasan pondok ditenggelami air hampir 1.4 meter dimana ianya menenggelamkan hampir keseluruhan bangunan pondok tersebut. Bekalan makanan pelajar juga terputus disebabkan kerana kawasan pondok terletak di pedalaman kampung. Selepas itu, perjalanan tidak dapat diteruskan di kawasan Bunohan, Tumpat kerana paras air masih tinggi dan segala pergerakan dapat dibuat hanya menggunakan bot ataupun sampan sahaja.