Program Susur Pulau di Pulau Pangkor

/ / Kebajikan
12 September 2026 | Pulau Pangkor, Perak – Program Susur Pulau 2026, anjuran Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa MAIWP, diteruskan di Pulau Pangkor sebagai usaha mendekati komuniti asnaf secara langsung, khususnya dalam memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi golongan rentan menjelang musim tengkujuh.
 
Program yang berlangsung dari 10 hingga 12 September 2026 ini melibatkan dua lokasi utama, iaitu Astaka Kampung Sungai Pinang Besar dan Dewan Serbaguna Kampung Teluk Gedung.
 
Selain agihan bantuan, program turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan komuniti, khususnya bagi penduduk yang bergantung kepada aktiviti laut. Sehubungan itu, satu taklimat keselamatan di laut turut diadakan dan disampaikan oleh Pegawai Penguatkuasa APMM, Lt. Dya (M) Mohamad Kamarul bin Yusuff, sebagai panduan kepada komuniti dalam menghadapi risiko serta situasi kecemasan ketika berada di laut.
 
Pada 11 September, seramai 198 penerima di Astaka Kampung Sungai Pinang Besar menerima sumbangan berupa bakul makanan dan kit kebersihan diri. Agihan turut dilaksanakan menerusi kaedah pandu lalu (drive-through) bagi memudahkan urusan penerima.
 
Manakala pada 12 September, seramai 101 penerima di Dewan Serbaguna Kampung Teluk Gedung turut menerima bantuan yang sama.
Secara keseluruhannya, 299 penerima disantuni menerusi Program Susur Pulau 2026 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sepanjang musim tengkujuh.
 
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Mohd Shamikhairul Fadlly bin Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Encik Johan bin Halid.
Turut hadir, Penghulu Pangkor, Puan Zarina binti Ishak, dan Pengerusi JPKK Kampung Teluk Gedung, Encik Ishak bin Khalid, yang bersama-sama menyokong usaha menyantuni komuniti setempat menerusi program berkenaan.
 
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Faridh Hafez turut berkongsi hadis Rasulullah SAW:
 
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat itu menjadi antara landasan penting dalam pelaksanaan Program Susur Pulau, yang bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi hadir mendengar, memahami dan menyantuni masyarakat yang memerlukan.
 
Pendekatan ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan sokongan.
 
Diharapkan sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban penerima serta memastikan keperluan asas mereka terus terpelihara sepanjang musim tengkujuh. Lebih daripada sekadar bantuan, usaha seperti ini diharapkan dapat menyemai rasa kebersamaan dan keyakinan dalam kalangan masyarakat bahawa mereka tidak berdepan cabaran bersendirian.