GOMBAK, 16 DISEMBER 2024 – Pada hari ini, satu majlis pelancaran Program SISWA+ 2024 (Sumbangan komputer riba kepada Mahasiswa) dan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Peringkat Kebangsaan telah diadakan dengan jayanya, bertujuan untuk menyuntik semangat para pelajar serta mahasiswa untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran.
Seramai 400 orang mahasiswa dari Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara bakal menerima manfaat daripada sumbangan komputer riba ini, dengan jumlah keseluruhan sumbangan bagi Program SISWA+ 2024 ini berjumlah RM1.35 Juta.
Manakala seramai 24,000 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara bakal menerima manfaat dari pelaksanaan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 ini dengan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM4.2 Juta dalam bentuk Set Persekolahan lengkap (bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia) dan Wang Tunai (bagi negeri Sabah dan Sarawak).
Majlis bertempat di Pusat Kebudayaan UIAM (ICC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak ini telah dirasmikan oleh YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Mohamed Aslam bin Mohamed Haneef, Timbalan Rektor (Penyelidikan, Innovasi dan Pembangunan) Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, YBhg. Dato’ Mohammad Bin S.Ahmad, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, YBhg. Ahmad Talmizi Bin Yahaya, Pengurus Baitulmal MAIWP merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Guru-guru, para pelajar dan mahasiswa penerima sumbangan.
Inisiatif ini adalah salah satu usaha murni untuk menyediakan akses kepada teknologi dalam membantu proses pembelajaran mahasiswa dan keperluan persekolahan yang berkualiti kepada para pelajar yang memerlukannya di seluruh negara.
Dalam ucapan perasmiannya, YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Bin Haji Mokhtar menyatakan, “Komputer riba yang akan disumbangkan kepada para mahasiswa bukan sahaja akan memudahkan mereka dalam menjalankan tugasan akademik, tetapi juga akan membuka peluang baru untuk mereka belajar dan berkembang dalam dunia digital yang semakin maju. Begitu juga dengan sumbangan pakaian sekolah kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Keperluan sekolah yang baharu dan berkualiti bukan sahaja meningkatkan motivasi malah dapat menyuntik semangat dan keyakinan kepada para pelajar.”
Program SISWA+ 2024 dan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 yang dilaksanakan ini juga merupakan suatu usaha serta pendekatan bagi menyahut seruan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara. Inisiatif ini turut mendokong dan menghayati Teras Ihsan dalam gagasan Malaysia Madani dengan memberikan sumbangan bantuan kepada para pelajar. Ihsan menekankan nilai-nilai kasih sayang, kepedulian, dan belas kasihan, yang menjadi asas dalam usaha untuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil yang telah dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menyediakan kemudahan pembelajaran anak-anak di IPT dan persiapan sempena musim persekolahan baharu akan datang dan dapat menyuntik semangat kepada mahasiswa dan pelajar untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran.
























