
Balik Pulau, 9 Februari – Seramai 400 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Balik Pulau diraikan melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Balik Pulau anjuran Yayasan Kita Anak Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.
Majlis yang diadakan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh, Balik Pulau ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Fahmi Bin Zainol, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan & Pembangunan Koperasi.
Turut hadir Ahli Parlimen Balik Pulau, Yang Berhormat Dato’ Haji Muhammad Baktiar Wan Chik, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg Tuan Suhaili Bin Mohd Yusoff, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kita Anak Malaysia, Y.Bhg Encik Puvaniten M. Halen Govan, Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya, Y.Bhg Tuan Shamsul Fairuz Bin Mohamad Nor, Pengetua SMK Pondok Upeh, Y.Bhg Encik Hassan Bin Din, pegawai-pegawai PPD, guru-guru penyelaras dan para pelajar penerima sumbangan serta ibu bapa yang diraikan.
Melalui majlis ini para pelajar telah menerima sumbangan berjumlah RM70,000 dalam bentuk sumbangan keperluan persekolahan seperti baju sekolah, seluar/kain, kasut, stokin, tudung/tali pinggang, alat tulis dan beg sekolah. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Tuan Fahmi Bin Zainol turut mengucapkan tahniah dan syabas diatas keprihatinan agensi agama seperti Yayasan Taqwa-MAIWP yang menyalurkan sumbangan kepada penerima di Negeri Pulau Pinang.
Tambah beliau, sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ibu bapa penerima sumbangan dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan baharu.