09 Ogos 2025, Kelantan – Berlangsung Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang bersama agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pogram ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim. Turut hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim serta dif – dif kehormat yang terlibat.
Melalui penganjuran kali ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyumbangkan sebanyak 1,000 unit kit ibadah kepada guru-guru di institusi pondok sekitar negeri Kelantan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka dalam memartabatkan ilmu dan pendidikan agama.
Selain mengeratkan hubungan antara institusi pondok dengan kerajaan Persekutuan, program ini turut menjadi platform mengukuhkan peranan dan fungsi institusi agama dalam memperkasa pendidikan Islam serta melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia. Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan agama dan masyarakat bagi memastikan warisan ilmu Islam terus berkembang dan kekal relevan dalam arus kemodenan.
Semoga penganjuran Ijtima’ Madani ini menjadi titik tolak kepada pengukuhan hubungan strategik antara institusi pondok dan pihak kerajaan sekaligus mengangkat martabat pendidikan Islam di persada nasional.


















