Rahmah MADANI Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Belihoi

/ / Dakwah
 
04 April 2026, Mantin – Program Tautan Rahmah MADANI bersama masyarakat Orang Asli bertempat di Kampung Belihoi, Mantin Negeri Sembilan telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat muhibbah kebersamaan.
 
Program ini diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan masyarakat.
 
Menariknya, selain menghimpunkan masyarakat Orang Asli sekitar Negeri Sembilan program ini juga turut menghimpunkan wakil-wakil masyarakat Orang Asli dari Negeri Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Melaka. Dengan itu, ia menjadikannya platform penting dalam memperkukuh jaringan komuniti serta memupuk semangat perpaduan dikalangan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.
 
Pelbagai pengisian telah diadakan termasuk penyampaian sumbangan bakul MADANI, ziarah rumah ke rumah bagi menyantuni masyarakat, klinik Al Fatihah, sukaneka, gotong royong dan aktiviti komuniti yang melibatkan penduduk setempat. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan jelas mencerminkan keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
 
Bagi program ini Yayasan Taqwa – MAIWP telah menyampaikan sumbangan berbentuk Bakul MADANI kepada 300 Ketua Isi Rumah (KIR), sumbangan duit raya kepada kanak- kanak dan jamuan rakyat.
 
Turut hadir dalam program tersebut adalah YBhg. Dato’ Mohd Asri bin Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan, YBhg. Dr. Muhammad Yamin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, YBhg. Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa -MAIWP, YBhg. Puan Sahahrani bin Idderis, Pengarah JAKOA Negeri Sembilan & Melaka, YBrs. Belatok bin Ujang, Tok Batin KOA Belihoi dan wakil- wakil agensi Persekutuan dan Negeri.
 
Program ini merupakan anjuran Bahagian Dakwah, JAKIM dan Yayasan Taqwa – MAIWP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta rakan strategik Gardenia.
 
Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan demi memastikan kesejahteraan masyarakat Orang Asli terus terpelihara selaras dengan aspirasi Madani Membantu yang membawa maksud semangat kebersamaan, prihatin, dan saling menolong dalam masyarakat yang berteraskan nilai MADANI.