BESTARI JAYA, 17 Januari 2026 – Seramai 386 orang pelajar sekolah rendah & menengah diraikan melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2026, Kawasan Kuala Selangor. Melalui majlis ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM70,638 bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
Program yang diadakan bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor. Turut Hadir, Y.Bhg. Tuan Hj. Abdul Aziz bin Abdul Jalal, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, YM. Dato’ Tuan Asmawi Bin Tuan Umar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Y.Bhg. Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Dato’ Mohd Aizuddin Bin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, tetamu jemputan ibu bapa dan para pelajar.
Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata sumbangan yang diberikan pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi keceriaan kepada para pelajar disamping dapat meringankan beban kewangan ibubapa. Beliau turut mengingatkan para ibu bapa untuk menjaga kesihatan anak-anak, kerana kesihatan yang baik dapat melahirkan minda yang tajam.
Semoga dengan adanya bantuan persekolahan ini dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada para pelajar untuk hadir ke sekolah, belajar dan berjaya dalam pelajaran.



























