PROGRAM SAHSIAH UNGGUL INDIVIDU TERBILANG (SUIT) 2019, PERINGKAT NEGERI PERLIS

/ / Pendidikan

Seramai 200 orang pelajar tingkatan 3 hingga 5 yang terpilih telah mengikuti Program Sahsiah Unggul Individu Terbilang (SUIT) 2019, peringkat Negeri Perlis yang diadakan pada 4 Julai 2019 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman. Program yang julung kalinya diadakan ini merupakan program anjuran Yayasan Taqwa (MAIWP) yang memfokuskan kepada pembentukan sahsiah diri pelajar khususnya kepada pelajar di peringkat menengah. Pelaksanaan program ini adalah berobjektifkan untuk memberi kesedaran dan membentuk para pelajar khususnya pelajar tingkatan 3 hingga 5 (peringkat kritikal dalam menempuh usia remaja) ke arah mempunyai keperibadian dan sahsiah diri yang baik. Melalui program yang dikendalikan oleh penceramah jemputan khas iaitu Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Saifullah, peserta dirangsang untuk melakukan perubahan diri melalui integrasi pada peringkat fizikal, mental, rohani, emosi dan sosial. Program ini juga dijalankan bagi membina keyakinan diri pelajar bahawa mereka telah dicipta dengan sebaik kejadian dan bukan dicipta untuk gagal. Peserta juga akan dibimbing untuk membuat persediaan untuk menghadapi cabaran dunia di masa akan datang dengan jati diri yang mantap dan komunikasi yang cemerlang. Melalui maklumbalas yang diberikan oleh Puan Zaini Binti Ghazali, guru bimbingan dan kaunseling di SMK Tengku Suleiman, secara keseluruhannya beliau berpandangan keseluruhan program ini sangat baik, sentuhan hati sangat menarik dan memberi kesedaran kepada pelajar. Beliau juga berpandangan program ini sangat mencapai objektif dan berharap agar program ini diteruskan agar dapat memberi motivasi secara berterusan.