“Sebenarnya mereka pun ada impian untuk bebas. Cuma mereka tak tahu jalan mana yang perlu diikuti.”
Di sebalik seseorang yang pernah melalui ketagihan, ada insan yang mahu berubah, kembali bekerja dan membina kehidupan yang lebih baik.
Seramai 44 peserta dari seluruh Malaysia menyertai Program Certified Recovery Coach 6.0, anjuran Malaysian Substance Abuse Council (MASAC) dengan kerjasama Yayasan Taqwa-MAIWP, USIM dan AADK.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini memberi ilmu dan kemahiran kepada peserta untuk menjadi rakan sebimbing kepada individu yang sedang melalui proses pemulihan.
Presiden MASAC, Y.Bhg. Tuan Ahmad Lutfi Abd Latif berkata, pendekatan ini memberi ruang kepada individu yang pernah melalui pengalaman pemulihan untuk menggunakan pengalaman tersebut dalam membantu orang lain.
Dari sudut pemulihan pula, Pengarah Rawatan, Pemulihan dan Perubatan AADK, Y.Bhg. Dr. Mohd Rafidi bin Jusoh, turut memberikan sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan rakan sebimbing dalam komuniti.
Aspek ilmu dan pensijilan program turut diperkukuh melalui Koordinator Certified Recovery Coach Certification Specialist USIM, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Isa Amat, yang terlibat dalam pelaksanaan latihan dan pensijilan peserta.
Pada 4 Oktober 2026, para peserta diraikan dalam Majlis Graduasi Certified Recovery Coach 6.0 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Dr. Mohd. Faridh Hafez bin Mohd Omar.
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Tuan Muhammad Luqman bin Ahmad Tarmizi, serta Pengerusi Lembaga Penasihat MASAC, Y.Bhg. Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Institusi AADK, Y.Bhg. Dr. Nor Azri bin Ahmad.
Bagi Yayasan Taqwa-MAIWP, usaha ini selari dengan nilai Malaysia MADANI memberi ruang, ilmu dan peluang kepada mereka untuk kembali berdikari serta menyumbang kepada masyarakat.
Ilmu jangan berhenti di bilik latihan. Bawa keluar. Gunakan. Kongsi.
Kerana mungkin mereka pernah tersesat jalan. Kini, mereka pula membantu menunjukkan jalan kepada orang lain.































