Bantuan Persekolahan Kawasan Hulu Selangor

/ / Pendidikan
7 Januari 2026, KUALA KUBU BHARU- Yayasan Yaqwa-MAIWP telah menyampai sumbangan berjumlah RM91,500 melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS), Kawasan Hulu Selangor dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Selangor. Melalui majlis ini, seramai 500 orang pelajar sekolah rendah & menengah dari kawasan sekitar Hulu Selangor telah menerima sumbangan berupa set pakaian & keperluan persekolahan.
 
Majlis penyampaian ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Saifuddin Bin Shafi Muhammad, Penyelaras DUN Batang Kali merangkap Setiausaha Politik kepada YAB. Menteri Besar Selangor bertempat di Dewan Muktamar, Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
 
Turut Hadir, YBrs. Tuan Mohd Kamarul Arifin Bin Mohd Wafa, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Y.Bhg. Tuan Mohd Fitri Aziz Bin Mohd Yusof, Pengarah YADIM Negeri Selangor, Y.Bhg. Muhamad Hafiz Bin Razi, Ketua Unit Pendidikan Yayasan Taqwa-MAIWP yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, tetamu jemputan ibu bapa dan para pelajar.
 
Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Saifuddin Bin Shafi Muhammad menyatakan bahawa sumbangan yang diberikan pada hari ini sedikit sebanyak bertujuan untuk menyuntik semangat serta motivasi kepada pelajar yang akan memasuki sesi persekolahan yang baharu tidak lama lagi. YBrs. Tuan Mohd Kamarul Arifin Bin Mohd Wafa pula menyatakan program yang diadakan ini sebagai salah satu inisiatif agensi untuk turun bersama dengan masyarakat dengan mesej Madani Membantu.