MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PERSEKOLAHAN 2019, PERINGKAT NEGERI PAHANG

/ / Pendidikan

Pada 8 Disember 2018, Yayasan Taqwa (MAIWP) dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI (PICOMS) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2019, peringkat Negeri Pahang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di sekitar negeri Pahang. Antara aktiviti yang dijalankan pada majlis tersebut adalah aktiviti senam aerobik, ceramah kesihatan dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pihak PICOMS. Majlis sumbangan yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Tas 2 juga telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhomat Puan Hajah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) merangkap Ahli Parlimen Kuantan. Turut hadir, Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. Hj. Mohd Zubir Bin Sheikh Saad, Naib Chanselor dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS dan Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa (MAIWP) yang menyaksikan penyerahan sumbangan berupa set pakaian dan peralatan persekolahan kepada seramai 1,200 orang pelajar dari seluruh negeri Pahang. Di dalam ucapannya, Yang Berhomat Puan Hajah Fuziah Binti Salleh memberi galakan kepada pelajar dan ibu bapa tentang kepentingan pendidikan dan beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada agensi-agensi yang terlibat bagi membolehkan majlis tersebut berjalan dengan lancar. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi galakan dan dorongan serta membantu pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan yang sempurna selain dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baharu.