YAYASAN TAQWA MAIWP DALAM MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN ANAK YATIM
7 Januari 2026 | Kota Bharu – Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadan 1447H dan Pelancaran Program Pendidikan YAATIM 2026 telah disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertempat di Dewan Arafah, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM).
Program ini dianjurkan sebagai wadah untuk menghidupkan roh Ramadan melalui pengisian rohani, ilmiah dan kebajikan yang bermakna, sekali gus menyuburkan keimanan serta menyemarakkan semangat ihsan dalam kalangan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, YB Timbalan Menteri telah menyalurkan sumbangan melalui Yayasan Taqwa MAIWP berjumlah RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan Program-program Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Yatim yang telah dirancang sepanjang tahun 2026.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan replika cek cura simbolik sumbangan, yang disampaikan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli kepada Tuan Haji Mukhtar Bin Haji Ismail, Ketua Eksekutif merangkap Pemegang Amanah YAATIM, sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kebajikan dan pembangunan pendidikan anak-anak yatim.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berhormat Dr. Hafidzah Binti Mustakim, ADUN Kota Lama; Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa; Yang Berusaha Puan Hajah Siti Norina binti Muhammad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan; serta Yang Berusaha Puan Yusnita binti Muhammad Yusoff, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kelantan dan pimpinan ABIM, WADAH peringkat negeri Kelantan.
YB Timbalan Menteri menyatakan program seumpama ini bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah berperanan membentuk budaya prihatin, memperkukuh semangat saling menyantuni serta menyediakan sokongan pendidikan yang holistik demi memastikan masa depan anak-anak yatim lebih cerah dan berdaya saing.
Menurut beliau, usaha tersebut selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh, khususnya dalam aspek pendidikan berteraskan nilai, akhlak dan kesejahteraan sosial. Pendidikan yang inklusif dan berdaya saing, ujar beliau, merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, beretika dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau turut berharap agar inisiatif yang digerakkan ini diberkati Allah SWT serta menjadi asbab lahirnya generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing demi agama, bangsa dan negara.


















