7 Mei 2026, Langkawi – Yayasan Taqwa MAIWP terus komited memperkukuh agenda pendidikan Islam melalui sokongan terhadap institusi KAFA menerusi Majlis Apresiasi Kecemerlangan KAFA 2026 yang meraikan pelajar-pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
Majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Senator Dr. Zulkifli bin Hasan.
Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr. Muhammad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Dr. Mohd. Faridh Hafez Mhd Omar, Guru Besar SK Ulu Melaka, Rizal Mohd Yusof, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi (Pengurusan Sekolah) mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Ahmad Sufian Abd Rahman, Pegawai Agama Daerah Langkawi, Lokman Ishak serta guru-guru, ibu bapa dan para pelajar.
Melalui majlis tersebut, Yayasan Taqwa MAIWP turut menyampaikan replika cek sumbangan berjumlah RM10,000 kepada KAFA SK Ulu Melaka bagi membantu pelaksanaan program pendidikan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran pelajar. Replika cek berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Dr. Mohd. Faridh Hafez Mhd Omar kepada Guru Besar SK Ulu Melaka, Rizal Mohd Yusof yang disaksikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Dalam majlis yang sama, Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan Asnaf kepada Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka sebagai usaha bersama dalam memperkukuh kebajikan dan pembangunan pendidikan murid yang memerlukan.
Kecemerlangan bukan sekadar diukur pada keputusan peperiksaan, tetapi pada usaha melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berjiwa Islam.
Semoga usaha dan sinergi ini menjadi asbab lahirnya lebih ramai pewaris kepimpinan ummah yang akan memimpin masyarakat dengan ilmu, hikmah dan nilai agama pada masa hadapan.



















