PELANCARAN PROGRAM SAHSIAH UNGGUL INDIVIDU TERBILANG (SUIT) 2019 PERINGKAT KEBANGSAAN DAN PROGRAM SUIT 2019 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

/ / Pendidikan

Majlis Pelancaran Program Sahsiah Unggul Individu Terbilang (SUIT) 2019 Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 17 Julai 2019 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu. Program anjuran Yayasan Taqwa (MAIWP) ini telah melibatkan peserta seramai 200 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3 hingga 5 terpilih dari SMK Kompleks Seberang Takir. Majlis pelancaran program ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang Behormat Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang turut menyempurnakan majlis tersebut. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg Encik Onn Bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan dan Pengetua SMK Kompleks Seberang Takir, Y.Bhg. En. Norjamalullail Bin Mohd Noor. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk membina keyakinan diri pelajar bahawa mereka telah dicipta dengan sebaik kejadian dan bukan dicipta untuk gagal. Para peserta yang khususnya merupakan pelajar tingkatan 3 hingga 5 (peringkat kritikal dalam menempuh usia remaja) juga dibimbing untuk membuat persediaan untuk menghadapi cabaran dunia di masa akan datang dengan jati diri yang mantap dan komunikasi yang cemerlang melalui penceramah yang dijemput khas iaitu Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Saifullah. Melalui ucapan Yang Behormat Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh, beliau berharap program yang dijalankan ini sedikit sebanyak dapat menjentik hati dan membuka minda para pelajar untuk melakukan perubahan dalam diri dan menjadi manusia berguna yang akhirnya dapat menabur bakti kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjur serta menjayakan  program ini khususnya kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir yang menyediakan lokasi bagi pelancaran program tersebut.