Temu Seru Komuniti Madani

/ / Pendidikan
8 Mei 2026, Langkawi – Program Temu Seru Komuniti Madani pagi ini dimulakan dengan solat berjemaah dan sesi beramah mesra bersama penduduk setempat di Masjid Ar Rahman, Langkawi.
 
Suasana penuh ukhuwah diteruskan dengan sarapan pagi bersama jemaah dan komuniti di Warung Hj. Idris. Dalam program ini, Yayasan Taqwa MAIWP turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada KAFA SK Selat Bagan Nyior yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, YBrs. Dr. Faridh Hafez bin Mhd Omar kepada wakil Ketua Guru KAFA sekolah tersebut, disaksikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan.
 
Sumbangan ini bertujuan membantu pelaksanaan program pendidikan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran demi memastikan anak-anak mendapat akses pendidikan Islam yang lebih selesa dan berkualiti.
 
Turut disampaikan bantuan daripada Tabung Musa’adah JAKIM – Yayasan Wakaf Malaysia sebanyak RM5,000 bagi Bantuan Operasi Masjid Ar Rahman, selain sumbangan bakul makanan kepada penduduk kariah Masjid Al Ehsan, Temoyong berjumlah RM5,000. Program turut meraikan sumbangan kotak rezeki dan wang wakalah daripada McDonald’s (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) berjumlah RM20,000 bagi manfaat komuniti Madani Zon Utara.
 
Pendidikan bukan sekadar tentang bilik darjah dan buku teks, tetapi tentang membina harapan, membentuk akhlak dan melahirkan generasi pewaris ummah yang kuat ilmu serta jiwanya. Apabila masyarakat, agensi dan sektor korporat berganding bahu membantu pendidikan dan kebajikan komuniti, di situlah lahirnya kekuatan sebuah ummah.
 
Semoga setiap bantuan dan sumbangan yang disalurkan menjadi asbab kepada perkembangan pendidikan anak-anak, meringankan beban masyarakat serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam membina komuniti Madani yang lebih prihatin, berilmu dan diberkati Allah SWT.