19 Julai 2026, Chemor – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah merasmikan dan menyampaikan amanat melalui Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026. Program ini merupakan platform strategik bagi menyatukan institusi pendidikan Islam tradisional dan moden demi memperkukuh peranan ilmu agama dalam pembangunan modal insan.
Program yang berlangsung di Maahad Al-Ummah, Chemor ini menjadi wadah penting dalam menyelaraskan hala tuju pendidikan Islam di negeri Perak, selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, penguasaan ilmu, dan kesejahteraan menyeluruh masyarakat. Melalui himpunan ini, pelbagai aktiviti dirangka untuk memastikan sinergi antara tradisi keilmuan pondok dapat diintegrasikan dengan pendekatan pendidikan kontemporari yang lebih dinamik.
Antara pengisian program adalah Bicara Murobbi, pameran oleh Agensi Kerajaan dan Agensi di bawah Hal Ehwal Agama, persembahan UNIC, gimik sumbangan Bakul Madani dan gimik sumbangan Tajaan Yuran Pelajar & Program Fast Track SPM dari YAPIEM.
Himpunan ini turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pondok dan sekolah agama bagi membina ekosistem pendidikan yang lebih kukuh. Sinergi ini dilihat mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki sahsiah diri yang tinggi berdasarkan acuan pendidikan Islam yang syumul.
Turut Hadir, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ketua-ketua Agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Y.Bhg. Dr. Abdul Razak bin Ali, Pengerusi Jemaah Pengurusan Maahad Al-Ummah. Majlis ini turut menghimpunkan beberapa tokoh pendidik dan agamawan, seperti Y.Bhg. Sheikh Wazir bin Che Awang, Y.Bhg. Datuk Seri Wan Zahidi bin Wan Teh, Y.Bhg. Ustaz Mohamad Saifuddin bin Abdul Latif. Kehadiran para pelajar pondok dan sekolah agama serta guru-guru pondok dan sekolah KAFA juga membuktikan wujudnya perpaduan yang erat dalam memartabatkan institusi agama.
Dalam ucapan perasmian, YAB Perdana Menteri turut menyatakan keberhasilan program ini akan memberikan impak besar kepada komuniti setempat melalui pembinaan masyarakat yang berakhlak mulia dan berjiwa Madani.
Yayasan Taqwa MAIWP akan terus memantau perkembangan program ini bagi memastikan setiap objektif yang digariskan dapat dicapai dengan jayanya, seterusnya menjadi model rujukan kepada negeri-negeri lain dalam memperkasakan pendidikan Islam di peringkat akar umbi.
Yayasan Taqwa MAIWP komited untuk terus menyokong agenda pendidikan Islam di negara ini dan berharap agar program HIPSA 2026 menjadi titik tolak kepada pemerkasaan institusi pondok dan sekolah agama yang lebih lestari.



















