8 Jun 2026, Jitra – Program Anak Muda Berselawat yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim menjadi platform penting dalam memperkukuh sahsiah dan nilai kerohanian golongan belia ke arah melahirkan generasi berjiwa Rabbani serta menghayati nilai-nilai MADANI.
Program yang menghimpunkan para pelajar institut tersebut diisi dengan alunan zikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai usaha menyemai kecintaan terhadap Baginda serta memperkasakan pembangunan rohani dalam kalangan anak muda.Pengisian yang disusun turut memberi penekanan kepada pembentukan akhlak, jati diri dan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dengan penghayatan agama.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Zulkifli Hasan. Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Institut Kefahaman Islam Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, YADIM, Yayasan Taqwa-MAIWP, YAPIEM dan TV AlHijrah, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan agenda dakwah dan pembangunan insan di peringkat akar umbi.
Turut hadir memeriahkan program ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, Mudir Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah, Mohd Jamil Sadaqi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Mohd Faridh Hafez Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Ridzwan Bakar serta Pengerusi Daie MADANI, Amir Zuhair Abdull Khalid, selain barisan pentadbir institut dan para pelajar.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Zulkifli menegaskan bahawa pembentukan generasi MADANI yang seimbang memerlukan asas agama yang kukuh serta kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah SAW. Beliau berkata program seumpama ini mampu menjadi wadah berkesan dalam membentuk pelajar yang berakhlak mulia, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden dengan berpandukan nilai-nilai Islam.
Yayasan Taqwa-MAIWP terus komited menyokong pelaksanaan program berteraskan pendidikan dan kerohanian sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan ummah serta melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera.












